Di awal pagi lagi emak dan adik telah pergi ke pasar besar untuk membeli tepung, gula, kacang dan barangan persiapan untuk menyambut Hari Raya. Sekembalinya dari pasar, barang-barang itu pula dijemur di hadapan laman yang menghadap padang sekolah . Tugas adik ialah menjaga bahan-bahan jemuran agar tidak diganggu oleh kucing, burung atau apa saja. Pada waktu siang di rumah pada bulan puasa, yang tinggal hanyalah emak, anjang dan adik manakala abang-abang dan kakak-kakak lain semuanya bersekolah. Abah pula mengajar di sekolah yang jaraknya hanya di seberang padang di depan rumah. Pada minggu kedua puasa, emak dan adik akan sekali lagi ke bandar untuk membeli kain cotton. Kain ini dibawa pulang dan akan digunting dan dijahit menjadi baju Melayu. Emak sendiri yang menjahitnya.
Setiap hari sebelum berbuka puasa , emak serta kakak-kakak akan sibuk di dapur menyediakan juadah berbuka puasa. Abang-abang pula sibuk di laman rumah menyediakan lampu pelita. Tahun ini, pelita kami akan disusun menjadi bentuk bintang yang besar, ada antara 20-30 pelita yang dibuat dari botol minyak rambut digunakan. Baru semalam abang-abang masuk ke hutan di hujung sekolah mencari buluh untuk diikat sebagai bintang. Maklumlah, untuk bersaing dengan rumah Cikgu Maarof di kiri padang yang telah memasang pelita berbentuk roket.
Anjang pula sibuk memakaikan adik pakaian setelah memandikan adik. Seusai memakai pakaian, adik akan disuruh makan dahulu. Semasa berbuka puasa adik akan duduk di tangga sementara abah, emak, abang-abang dan kakak-kakak menjamu selera berbuka puasa. Tidak sabar rasanya adik menunggu abah dan abang-abang selesai berbuka puasa kerana setelah mereka selesai berbuka puasa, barulah adik boleh bermain bunga api bersama mereka.
Emak akan membuat kuih raya di waktu pagi ataupun di hujung minggu. Selalunya emak membuat kuih tradisional seperti bahulu, samprit dan seumpamanya di waktu pagi hari bersendirian. Manakala biskut-biskut moden selalunya dimasak di hujung minggu bersama-sama kakak-kakak kerana mereka lebih arif mengenai resipinya. Abang-abang pula akan menolong memukul gelamai dan memasak rendang bersama abah di pondok belakang rumah. Pondok ini bersebelahan dengan reban ayam kami. Lemang juga dibakar di sini.
Antara banyak-banyak perkara yang berlaku dari bulan puasa ke Hari Raya, bukanlah kuih, makanan, minuman, lampu pelita, bunga api dan baju melayu yang sangat dikenangkan. Namun orang-orang yang bersama kita yang melalui peristiwa itu bersama, merekalah yang amat dikenangkan. Arwah-arwah Abah, Emak, Alang, Anjang dan abang sudah lama pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Semoga Allah swt mengampuni dan merahmati mereka kesemuanya, amin. Kini abang, kakak-kakak, adik dan saya pula menempuh pengalaman bulan puasa dan Hari Raya masing-masing bersama keluarga sendiri. Kami juga akan pergi dan akan tinggallah kenangan untuk mereka yang masih hidup. Semoga mereka yang tinggal akan mengingati kami dan berdoa setiap pagi raya buat kami yang akan pergi , amin.
0 comments:
Post a Comment