Sunday, August 29, 2010

Niat dan amalan

Di dalam kehidupan ini kita bersuara melalui mulut dan hati. Suara melalui mulut adalah sesuatu yang biasa buat kita, namun suara melalui hati kadang-kala tidak disedari oleh kita. Apakah itu suara melalui hati? Suara melalui hati kadang-kala disangka sebagai suara hati, namun bagi saya ianya berbeza. Suara hati adalah kata-kata yang terdetik yang disimpan di dalam hati dan tidak diluahkan kerana sebab-sebab tertentu. Ada kalanya ia disebabkan untuk menjaga hati seseorang atau mungkin juga kerana seseorang itu malu untuk menyatakannya berterus-terang.

Namun begitu, tujuan saya menulis artikel ini ialah untuk berbincang mengenai suara melalui hati. Suara melalui hati ini saya takrifkan sebagai suara yang sememangnya tidak semestinya diluahkan dan ianya begitu bukan kerana menjaga hati atau malu. Ianya merupakan niat kita sebelum memulakan sesuatu aktiviti.

Ramai dari kita secara sedar berniat untuk mencapai sesuatu melalui aktiviti tertentu. Bagi pelajar niat belajarnya adalah untuk lulus cemerlang dan mendapat peluang perkerjaan yang baik. Bagi pekerja niatnya berkerja bersungguh-sungguh adalah untuk mendapatkan kenaikan gaji dan bonus yang tinggi. Semuanya adalah hak masing-masing. Namun begitu permasalahannya nanti ialah apabila apa yang diniatkan tidak menjadi kenyataan. Adakah semuanya sia-sia belaka?

Terdapat beberapa kejadian di bulan puasa ini membuatkan saya berfikir mengenai niat. Salah satu kejadian ialah apabila ada orang menyesal kerana datang haidh hanya sejam sebelum berbuka puasa. Ada kejadian lain pula mengenai keresahan sebuah keluarga yang telah bersiap-sedia berbuka puasa beramai-ramai namun perancangan tidak menjadi kerana ada orang yang tidak hadir di saat terakhir. Ini antara kejadian yang sempat dikongsi di sini.

Kita tanpa sedar suka mengharapkan segala-galanya hanya melalui usaha yang kita laksanakan. Kita berharap kepada kekuatan kita, kepandaian kita, kerajinan kita, dan seumpamanya. Namun kita sering lupa bahawa di sana ada kuasa yang lebih kuat, yang lebih pandai dan lebih rajin dari kita, iaitu Allah swt. Kita berusaha sedaya-upaya kita namun hanya Allah swt sahaja yang menentukan segala-galanya. Itulah realitinya.

Jadi apa kena mengena dengan niat? Niat ialah perantara atau sambungan di antara usaha kita dan ketentuan Allah swt. Melalui niat kita akan berasa tenang dan beroleh ganjaran walaupun perancangan kita tidak menjadi. Berbalik kepada kejadian datang haidh sejam sebelum berbuka puasa. Sudah tentu kita berniat puasa, akan tetapi adakah niat kita terbatal kerana datang haidh? Niat kita tidak terbatal, yang terbatal hanyalah ibadat puasa kita. Niat kita tetap akan diberi ganjaran oleh Allah swt, bahkan apabila kita terbatal puasa dengan datang haidh dan kita redha, maka ganjaran mematuhi syarat sah berpuasa juga akan diberi ganjaran oleh Allah swt.

Dari hadis Nabi saw

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ، عَنْ سُفْيَانَ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيِّ، عَنْ عَلْقَمَةَ بْنِ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيِّ، قَالَ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: "الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ، وَلِامْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ،، فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ".

[Al-Bukhariy/ 2529] Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Kasir, daripada Sufyan: Telah bercerita kepada kami Yahya bin Sa`id, daripada Muhammad bin Ibrahim At-Taymiy, daripada `Alqamah bin Waqqas Al-Laysiy, dia berkata: Saya telah mendengar `Umar bin Al-Khattab, daripada Nabi, dia berkata: «Amalan-amalan itu dengan niat, dan bagi individu apa yang dia telah niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya adalah untuk dunia yang ditujuïnya atau wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia telah berhijrah kepadanya».

Melalui hadis di atas, Nabi saw mengajar kepentingan niat beramal dan niat ini harus dijaga agar tidak terpesong dari mula hinggalah akhir amalan kita. Beberapa kali juga saya melihat Allah swt memberikan sesuatu lebih dari apa yang diusahakan sekiranya niat kita ditujukan kepada Allah swt dan RasulNya saw. Inilah berkat niat yang diterima oleh Allah swt yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

0 comments: