Kira-kira dua bulan yang lalu, anak keduaku memberiku sekeping surat dari sekolah meminta tajaan untuk majalah sekolah. "Bah, cikgu kelas minta tajaan untuk gambar kelas kami, nak buat gambar satu mukasurat berwarna dalam majalah sekolah untuk kenang-kenangan". Aku terdiam.. tak pernah ku tahu pun ada permintaan serupa ini untuk kelas tingkatan 3, kalau tingkatan 5 tu fahamlah.
Bila kubaca surat itu, tak ada pula ia tertulis sepertimana yang diminta oleh anakku itu. Jadi aku dengan lagak seorang ahli korporat mulalah bertanya itu dan ini : "surat kata lain tapi minta lain, suruh cikgu buat surat khas atau pun call abah"; anakku terdiam mendengar kataku.
Selang beberapa hari aku bertanya anakku "dah tanya cikgu dah?", anakku pula diam aje. "Tak tanyalah tu", kataku perlahan.
Setelah seminggu aku bertanya lagi "apa cikgu cakap?", sambil teragak-agak anakku berkata, "cikgu kata tak apalah kalau tak ada tajaan." Tanpa berfikir apa-apa, aku pun melupakan saja perkara itu.
Dua minggu sudah semasa aku di pejabat, isteriku menghantar sms kepadaku. Katanya, anak keduaku pergi menziarah kerana guru kelasnya meninggal dunia. Oleh kerana kesibukanku, aku terus menyimpan handphone ku setelah membaca sms itu.
Petang itu, sesampai ku di rumah, baru aku sedar.. cikgu kelas inilah yang meminta tajaan dulu. Terkenang kata-kata anakku "Bah, cikgu kelas minta tajaan untuk gambar kelas kami, nak buat gambar satu mukasurat berwarna dalam majalah sekolah untuk kenang-kenangan". Ohhh... kenang-kenangan untuk arwah rupanya... tanpa ku sedari aku hampir beremosi.
Beberapa hari selepas itu, aku ke sekolah bersama isteri untuk menemui Pengetua sekolah. Aku sampaikan hajat kepada Pengetua bahawa aku ingin menaja semuka penuh gambar kelas berwarna. Aku ceritakan kepada Pengetua apa yang berlaku sebelum itu. Aku dapat rasakan Pengetua menahan emosinya ketika itu. Memang seperti yang kuduga, guru ini adalah guru yang penuh dedikasi dan ikhlas mendidik muridnya. Aku sempat bertemu dengannya dua kali, dan sememangnya aku dapat rasakan perkara yang sama.
Alhamdulillah pagi tadi aku selesai membuat pembayaran. Semoga Allah mengampuni dan memberkati roh arwah Cikgu Norain, permintaanmu telah ku tunaikan. Amin.
2 comments:
Tak terkata apa. Boleh berlaku kepada sesiapa Hj. Tinggal lagi kita tahu atau tidak akan natijah sesuatu peristiwa. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh cik gu Norain. Mungkin boleh siarkan gambar tersebut kemudian.
insyaallah akan cuba disiarkan.. tapi tak tahu bila majalah tu nak keluar..
Post a Comment