Pada hari Ahad yang lalu, saya dan isteri saya telah pergi ke Pasar Tani Danau Kota untuk membeli barangan dapur. Sememangnya setiap hari Ahad kami berdua akan ke sini untuk membeli ikan, daging dan sayur yang segar sebelum pergi ke Pasar Besar Gombak untuk membeli ayam . Saya membeli ayam di Pasar Besar Gombak kerana penjualnya ialah seorang ahli Jemaah Tabligh yang saya kenali keluarganya. Begitu juga untuk daging yang dibeli di Pasar Tani Danau Kota ialah dari seorang kenalan lama saya di Pasar Besar Gombak keturunan Pakistan yang juga mempunyai warung di pasar-pasar tani sekeling daerah Gombak.
Tapak Pasar Tani di Danau Kota ini juga ialah tapak Uptown. Sebelah malam hingga ke awal pagi tapak ini menjadi Uptown manakala pada setiap hari Sabtu pagi, tapak yang sama menjadi Pasar Tani. Dalam bulan Ramadhan ini pula, setiap petang tapak ini dijadikan Bazaar Ramadhan. Sememangnya tapak ini sesuai kerana ia di luar dari lingkungan jalan utama dan berada di persekitaran kawasan komersial Danau Kota bermakna ianya tidak menganggu lalu lintas.
Apa yang ingin saya kongsikan ialah saya perhatikan di sekitar tapak kedua-dua pasar ini, terdapat banyak van-van yang diletakkan secara tetap untuk menjadi stor mudah alih para peniaga. Saya kurang pasti oleh peniaga yang mana, namun pemandangannya memburukkan keadaan di sekitar tapak pasar ini. Ini ialah kerana, van-van yang diletakkan di situ samada di tutup dengan kanvas ataupun sememangnya van itu sendiri telah usang. Saya kongsikan gambar-gambarnya di sini agar pihak-pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya supaya para peniaga ini dapat menjaga dengan baik kawasan sekitar Danau Kota.


0 comments:
Post a Comment