Sunday, August 16, 2009

Asri Rabbani pulang ke rahmatullah

Berita mengenai Ustaz Asri, nama penuhnya Mohamad Asri Ibrahim, 40; pulang ke rahmatullah pada 13 Ogos 2009, kira-kira jam 11 pagi kerana sakit jantung menggugat ketenteraman jiwa. Ustaz Asri adalah idola nasyid saya.

Menurut berita, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh. Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambahnya. Sewaktu tiba di stesen RTM untuk sebuah program Ramadhan, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut - yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan yang mendatang. "Pada kira-kira jam 10.30 beliau jatuh pengsan. Tapi ambulans tiba agak lewat, kira-kira 20 minit selepas itu. Apabila sampai ke hospital beliau sudah disahkan meninggal dunia," kata Mohd Asri, salah seorang anggota kumpulan Rabbani.

Menurut cerita yang saya dengar, Ustaz Asri telah mula mengadu kurang sihat beberapa hari sebelumnya. Kisah ini merupakan sesuatu yang lumrah untuk para pesakit serangan jantung. Abang saya juga mengalami kronologi yang sama sebelum beliau meninggal dunia dua tahun yang lalu. Menurut kakak ipar saya, abang saya mula mengadu sakit dada beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia. Sehari sebelumnya, abang saya sempat pergi menjemput beberapa saudara mara ke majlis perkahwinan anaknya namun beliau dikatakan mengadu bahawa beliau cepat penat ketika berjalan. Malamnya, abang saya telah pergi ke klinik dan melakukan Rest ECG. Menurut doktor, keputusan Rest ECG menunjukkan yang abang saya perlu mendapat perhatian lanjut, namun abang saya tidak terus ke hospital. Sebelum subuh, abang saya telah diserang sakit jantung beberapa kali dan sempat di bawa ke HKL. Beliau akhirnya meninggal dunia sekitar jam 6.15 pagi setelah melalui beberapa kali serangan jantung.

Oleh itu pengajaran buat mereka yang mempunyai masalah kesihatan, cepat-cepatlah berjumpa doktor sekiranya terdapat tanda-tanda kesihatan yang menganggu anda. Ini adalah usaha kita, Allah swt yang menentukannya.

Namun wahai Ustaz Asri, pergimu akan kembali, kembali untuk dihitung dan insyaalah akan dikumpulkan Allah swt bersama para syuhada dan mursalin di atas jasa-jasamu membawa kesedaran dunia melalui lagu-lagu berirama nasyid.

0 comments: