Saturday, March 10, 2012

Mengenang budi

Hari khamis lalu saya menghadiri suatu majlis perpisahan untuk bekas staf saya. Semasa ucapan perpisahannya, saya tersentuh kerana dia telah mengucapkan terima kasih kepada saya sebagai bekas pengurusnya yang telah memberikan dia peluang meningkatkan kerjayanya di syarikat saya berkerja.

Majis itu diadakan kerana dia akan berhenti kerja dari jawatan Penyelia di syarikat saya berkerja dan akan berkerja di salah sebuah syarikat yang sama besarnya di Kuala Lumpur. Sebelum staf saya ini menjawat jawatan Penyelia, dia hanyalah seorang perkerja biasa di dalam jabatan saya. Ketika saya menukarkannya ke jabatan lain, dia datang berjumpa saya dengan kesedihan kerana tidak mahu berpindah. Agak sukar juga saya cuba meyakinkannya, namun akhirnya beliau bersetuju untuk berpindah setelah saya mengatakan perpindahan itu baik untuk masa depan kerjayanya.

Tidak beberapa lama setelah dia berpindah, dia telah dihantar berkursus ke The Hague, Holland. Kemudiannya dia telah dinaikkan pangkat menjadi pakar rujuk pengkhususan dasar. Baru tahun lepas, dia telah dinaikkan pangkat menjawat jawatan Penyelia. Walaupun saya tidak merancang semua ini untuknya, namun apa yang saya katakan padanya ketika meyakinkan dia untuk berpindah menjadi kenyataan.

Dia bukanlah seorang Muslim dan tindakannya mengucapkan terima kasih di khalayak ramai di depan pihak pengurusan dan kakitangan amat bermakna buat saya. Bagi saya dia betul-betul ikhlas menghargai saya dan menyatakannya pada umum. Saya pula tidak menyangka dia akan berbuat demikian.

Sebagai pengurus, saya banyak membantu staf-staf saya menaiki tangga kerjaya di dalam syarikat saya berkerja Ini dilakukan samada mereka sedar atau tidak. Namun saya tidak pernah menuntut sebarang ganjaran kerana niat saya ikhlas membantu mereka kerana saya juga pernah dibantu oleh ketua-ketua saya sehingga saya berjaya mencapai kedudukan saya sekarang. Saya bantu tidak mengira jantina dan bangsa kerana ketua-ketua yang pernah membantu saya pun dari berbagai jantina dan bangsa.

Ucapan terima kasih dan mengenang budi adalah budaya yang baik yang terdapat di dalam semua agama dan bangsa. Malangnya budaya ini jarang-jarang dipraktikkan walaupun ia tidak melibatkan sebarang kos dan usaha yang melampau. Namun kita harus memupuknya agar perhubungan sesama kita kekal harmoni dan siapa sangka orang yang membantu kita masih lagi boleh membantu kita di masa depan. Marilah kita renung-renungkan pepatah "Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa".

Sunday, February 26, 2012

Logo dan status HALAL di dalam dan luar negara

Saya baru pulang dari Manila beberapa hari yang lalu setelah melakukan lawatan kerja selama tiga hari. Adalah merupakan satu pengetahuan umum bahawa Manila adalah sebuah tempat di mana makanan halal merupakan suatu komiditi yang amat sukar diperolehi. Ini diakui sendiri oleh orang tempatan yang bertindak sebagai pengiring saya selama tiga hari saya berada di sana.

Tugas pengiring saya itu antara lain ialah memberi perkhidmatan iringan dan nasihat kepada para pegawai dagang yang akan berkerja dan menetap di Manila pada bulan pertama mereka berpindah ke sana. Antara nasihat yang diberikan ialah mengenai tempat sesuai untuk menyewa rumah, mensekolahkan anak serta tempat membeli keperluan harian.

Dia juga berpengalaman mengiringi pegawai dagang Muslim dan makanan halal adalah suatu perkara yang biasa dicari oleh mereka. Barangan seperti daging halal sememangnya boleh didapati di Manila, akan tetapi kedai yang menjualnya tidaklah sebanyak dan semudah dibanding dengan negara-negara bukan Islam yang lain. Restoran-restoran halal juga tidak banyak di sana. Pihak yang menyelaras status halal di sana ialah Islamic Da'wah Council of the Philippines (IDCP).

Tahun lepas pula semasa saya melawat Seoul, Korea Selatan saya telah dijamu makan tengahari oleh sahabat saya orang Korea yang pernah berkerja di KL hampir sepuluh tahun yang lalu. Sebelum kami pergi ke restoran, beliau berbincang dengan saya apakah makanan yang saya inginkan. Saya beritahunya saya teringin makanan masakan Korea tetapi mestilah halal.

Beliau memberitahu saya sejenis masakan ayam yang dimasak secara stim berempah yang sangat enak dan mengatakan tiada babi yang pada anggapannya haram bagi saya makan. Saya bertanya adakah ayam itu disembelih secara Islam. Pertanyaan saya membingungkannya kerana pada fahamannya hanya babi yang haram dan selain dari itu adalah halal. Terpaksalah saya menerangkan kepadanya konsep kehalalan makanan dalam Islam iaitu bukan saja jenis daging malahan cara ianya disembelih dan campuran masakan mestilah halal.

Makanan bagi orang Islam adalah satu perkara yang amat dititik beratkan. Ianya mestilah halal dari segi rupa dan bentuk. Di dalam masyarakat Islam moden di mana hubungan perdagangan antara negara dan perantauan serta pelancongan dari sebuah negara ke sebuah negara berlaku setiap hari, terdapat keperluan mustahak kepada makanan halal. Namun demikian permasalahan yang ketara antara pihak berkuasa logo halal negara-negara Islam dan apatah lagi negara bukan Islam ialah tiada penyelarasan yang setara antara mereka. Pada tahun ini JAKIM telah menguatkuasakan peraturan Logo Halal JAKIM di Malaysia. Melalui laporan bersumber dari TV3:


Hanya Logo Halal JAKIM Boleh Diguna Mulai 1 Januari
28/09/2011 16:40:00


Mulai 1 Januari depan (2012), hanya logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jakim, boleh digunakan dan diiktiraf.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu susulan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 yang diluluskan Parlimen Julai lalu dan berkuatkuasa 1 November ini.


Menurut beliau, premis makanan, restoran, hotel dan pihak lain yang sebelum ini menggunakan logo halal bukan dikeluarkan Jakim, perlu membuat permohonan baru kerana selepas tarikh 1 Januari, logo halal sedia ada terbatal.


Selepas tarikh itu katanya, mereka yang masih menggunakan logo halal lain boleh didenda sehingga RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan dan sehingga RM100,000 bagi orang perseorangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Sehubungan itu katanya, pihak industri diberi tempoh setahun untuk menukar semua produk keluaran mereka dengan logo halal Jakim. Manakala bagi barang import pula, pihak yang memasarkan barangan itu boleh mendapatkan perakuan atau sijil halal melalui 53 badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.


Dianggarkan 1,500 termasuk premis perniagaan seperti restoran, gerai, hotel dan pihak industri seperti kilang tidak menggunakan logo halal daripada Jakim.

Walau pun di dalam kenyataan di atas disebut terdapat 53 badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim, namun saya gagal mendapatkan nama 53 badan tersebut dari carian di lawan sesawangnya.

Amat ketara sekali bahawa pihak berkuasa di negara beragama Islam dan pihak penyelaras di negara bukan beragama Islam memerlukan penyelarasan yang lebih ketat di dalam melicinkan proses dan penetapan status halal di rantau Asia Tenggara, Asia malahan global. Diharapkan pihak yang sedia ada melalui Organisation of Islamic Council (OIC) atau badan lain yang khusus akan menyelaraskan perkara ini secepat mungkin.

Saturday, February 18, 2012

Bulatan pengaruh

Anak saya menjalani peperiksan memandu hari Khamis yang lalu. Beliau lulus peperiksaan di dalam litar tetapi gagal di jalanraya. Bila saya pulang dari kerja, dia amat payah untuk memberitahu saya hal itu. Ceritanya berpusing-pusing. Mulanya dia menyalahkan pegawai JPJ. Bila saya tanya lagi rupa-rupanya dia takut untuk memberitahu saya kerana takut dimarahi. Akhirnya saya memang tidak memarahinya akan tetapi kerisauannya yang berpanjangan selama beberapa jam sehingga saya pulang amat menganggu emosinya. (Ini saya dengar dari isteri saya).

Kehidupan kita mempunyai banyak cabaran. Cabaran ini menjadi asam garam kehidupan kita dan berupa beberapa bentuk dan rasa. Setiap orang mungkin menghadapi cabaran yang sama dan ada pula berlainan. Namun ianya tetap akan mempengaruhi jiwa dan perasaan kita.

Dari kita kanak-kanak, cabaran bermula apabila kita mencuba mendapat kelulusan yang tertinggi di sekolah. Bila remaja pula, cabarannya ialah untuk mendapat tempat di institut pendidikan tinggi yang bertepatan dengan minat kita. Setelah meningkat dewasa, cabaran yang dihadapi lebih hebat di dalam mencari pekerjaan, pasangan dan mendirikan rumahtangga. Setelah berumah tangga, cabarannya berubah kepada membentuk keluarga bahagia yang diredhai oleh Allah swt.

Dari jaluran kehidupan di atas, sememangnya semakin kita dewasa, semakin kuat dan bertambah tahap dan jenis cabaran yang kita alami. Ianya bersesuaian dengan penambahan tanggung jawab yang dipikul oleh kita. Kadang-kala emosi dan prestasi kita terganggu kerana cabaran-cabaran yang kita hadapi. Oleh itu bagaimanakah caranya kita harus menghadapi cabaran?

Apa yang hendak diperkatakan di sini mungkin sesuatu yang sudah biasa kita dengar . Namun perbincangan ini mungkin dari sudut yang berbeza. Di dalam menghadapi cabaran, adalah lebih baik kita melihat kepada bulatan pengaruh kita. Bulatan pengaruh ini bolehlah kita gambarkan seperti carta di bawah. Apa yang ada di dalam kawalan kita adalah sesuatu yang lebih mudah untuk kita mengambil tindakan dan mengagak keputusannya yang akan memihak kepada kita. Ini digambarkan sebagai kawasan bulatan putih di dalam carta. Ada pula kawasan kedua di luar kawalan kita yang mana kita tidak boleh menentukan keputusannya. Ini digambarkan sebagai segi empat hijau di dalam carta.

Sekiranya kita lihat di carta, sememangnya elemen-elemen yang di dalam kawalan kita adalah lebih sedikit berbanding dari elemen-elemen di luar kawalan kita. Namun elemen-elemen di dalam kawalan kita ini boleh membantu kita di dalam menghadapi cabaran hidup. Contohnya, emosi yang tenang dan pemikiran yang tajam boleh membantu kita di dalam perhubungan dengan pelanggan yang marah kerana perkhidmatan kita yang tidak menepati kehendaknya. Namun tindakan lanjut dari pelanggan adalah di luar kawalan kita namun diharapkan dengan emosi yang tenang dan cara perkhidmatan yang lebih baik boleh memenangi hati pelanggan semula.

Kesimpulannya, adalah lebih baik kita mencuba sebaik mungkin ke atas elemen-elemen yang di dalam kawalan kita dari kita risau mengenai elemen yang di luar kawalan kita. Sekiranya pemikiran kita tajam, emosi kita tenang, tindakan kita matang, tindakbalas kita sederhana, perawakan kita menarik (tidak semestinya handsome atau cantik), pakaian kita kemas dan aksesori kita sempurna (sesuai dengan citarasa), adalah lebih mudah elemen-elemen luar kawalan untuk berpihak kepada kita.

Saturday, February 11, 2012

Jika tiada aral melintang

Pagi tadi saya menjemput melalui sms beberapa sahabat untuk hadir usrah di rumah saya. Ramai yang setuju hadir, akan tetapi yang menariknya ada seorang sahabat mengatakan "Insyaallah akan hadir jika tiada aral melintang". Saya terus membalas sms itu "Sekiranya jumpa aral, gergajikan aral itu" :)

Sekiranya dirujuk Kamus Dewan Edisi Empat, "aral melintang" ialah sebuah bidalan yang bermakna


halangan 1. aral, gangguan, rintangan, tegahan: biasanya yg menjadi ~ dlm menjalankan pekerjaan tangan ialah kekurangan perkakas; 2. baluk (batang kayu dll) yg merintangi jalan, sungai dll, beting pasir yg melintang di kuala sungai: segala ~ di jalan telah dimusnahkan;
Berbeza dengan orang barat yang lebih bersifat individualistik (i.e. keakuan), orang Melayu lebih bersifat pluralistik (i.e. bermasyarakat). Malahan sudah menjadi kebiasaan orang Melayu membuka kawasan kampung di mana rumah-rumah kampung akan terletak berhampiran antara satu sama lain manakala kebun, ladang dan dusun akan terletak di pinggiran kampung. Dengan itu mudahlah solat jemaah dilaksanakan di surau dan masjid, bergotong-royong kenduri kendara dan seumpamanya.

Sifat sosial awal orang Melayu ini merangkumi juga hubungan antara kampung ke kampung melalui denai atau jalan hutan dan sungai. Begitu juga jalan seharian mereka dari rumah kampung ke kebun, ladang dan dusun adalah melalui denai. Malahan jalan ke pekan juga dihubungi oleh denai maupun sungai. Oleh itu di dalam merentasi denai dan sungai, banyaklah halangan yang boleh terjumpa di dalam perjalanan samada terjumpa binatang buas maupun terhalang oleh aral atau batang kayu yang melintang perjalanan. Oleh kerana kekurangan alat komunikasi seperti handphone atau seumpamanya untuk memberitahu kelewatan atau halangan untuk hadir dengan kadar paling segera, maka janji pertemuan akan diselitkan dengan syarat "sekiranya tiada aral melintang".

Zaman beredar dan kemodenan meresap masyarakat dengan jalan dan alat komunikasi yang canggih. Sekarang kita sudah ada jalanraya, lebuhraya, handphone, PC tablet, GPS dan seumpamanya. Namun "tiada aral melintang" masih lagi digunakan oleh orang Melayu di dalam syarat janji pertemuan. Walaupun ketidak tentuan itu adalah hakikat, namun tanpa disedari, ianya boleh membawa kepada kepasifan dan kenegatifan sekiranya digunakan untuk menyatakan kemungkinan janji tidak boleh ditepati. Adalah lebih baik untuk menyatakan samada ya atau tidak daripada ketidak tentuan yang tidak nyata.

Oleh itu bagaimanakah caranya untuk memupuk keaktifan dan kepositifan? Di dalam melengkapi jadual harian kita, perlulah ada prioriti atau keutamaan. Yang utama diberikan kepentingan terlebih dahulu manakala yang boleh dilengahkan maka dianjakkan agar perkara yang penting dapat diselesaikan dengan segera. Keduanya ikhlas pada diri. Keikhlasan akan membentuk jatidiri bahawa janji perlu ditepati dan urusan penting perlu diselesaikan. Ketiganya ialah istiqomah atau keterusan di mana keaktifan dan kepositifan itu diteruskan di dalam semua aktiviti harian, mingguan, bulanan maupun tahunan. Ini seharusnya tidak menjadi kesukaran kepada orang Melayu yang beragama Islam kerana Islam itu sendiri mengajar istiqomah di dalam ibadat solat, puasa, zakat dan seumpamanya. Semoga perkara ini boleh kita sama-sama laksanakan, insyaallah.

Sunday, August 28, 2011

Eidul Fitr dalam 40 tahun

Di awal pagi lagi emak dan adik telah pergi ke pasar besar untuk membeli tepung, gula, kacang dan barangan persiapan untuk menyambut Hari Raya. Sekembalinya dari pasar, barang-barang itu pula dijemur di hadapan laman yang menghadap padang sekolah . Tugas adik ialah menjaga bahan-bahan jemuran agar tidak diganggu oleh kucing, burung atau apa saja. Pada waktu siang di rumah pada bulan puasa, yang tinggal hanyalah emak, anjang dan adik manakala abang-abang dan kakak-kakak lain semuanya bersekolah. Abah pula mengajar di sekolah yang jaraknya hanya di seberang padang di depan rumah. Pada minggu kedua puasa, emak dan adik akan sekali lagi ke bandar untuk membeli kain cotton. Kain ini dibawa pulang dan akan digunting dan dijahit menjadi baju Melayu. Emak sendiri yang menjahitnya.


Setiap hari sebelum berbuka puasa , emak serta kakak-kakak akan sibuk di dapur menyediakan juadah berbuka puasa. Abang-abang pula sibuk di laman rumah menyediakan lampu pelita. Tahun ini, pelita kami akan disusun menjadi bentuk bintang yang besar, ada antara 20-30 pelita yang dibuat dari botol minyak rambut digunakan. Baru semalam abang-abang masuk ke hutan di hujung sekolah mencari buluh untuk diikat sebagai bintang. Maklumlah, untuk bersaing dengan rumah Cikgu Maarof di kiri padang yang telah memasang pelita berbentuk roket.

Anjang pula sibuk memakaikan adik pakaian setelah memandikan adik. Seusai memakai pakaian, adik akan disuruh makan dahulu. Semasa berbuka puasa adik akan duduk di tangga sementara abah, emak, abang-abang dan kakak-kakak menjamu selera berbuka puasa. Tidak sabar rasanya adik menunggu abah dan abang-abang selesai berbuka puasa kerana setelah mereka selesai berbuka puasa, barulah adik boleh bermain bunga api bersama mereka.


Emak akan membuat kuih raya di waktu pagi ataupun di hujung minggu. Selalunya emak membuat kuih tradisional seperti bahulu, samprit dan seumpamanya di waktu pagi hari bersendirian. Manakala biskut-biskut moden selalunya dimasak di hujung minggu bersama-sama kakak-kakak kerana mereka lebih arif mengenai resipinya. Abang-abang pula akan menolong memukul gelamai dan memasak rendang bersama abah di pondok belakang rumah. Pondok ini bersebelahan dengan reban ayam kami. Lemang juga dibakar di sini.

Antara banyak-banyak perkara yang berlaku dari bulan puasa ke Hari Raya, bukanlah kuih, makanan, minuman, lampu pelita, bunga api dan baju melayu yang sangat dikenangkan. Namun orang-orang yang bersama kita yang melalui peristiwa itu bersama, merekalah yang amat dikenangkan. Arwah-arwah Abah, Emak, Alang, Anjang dan abang sudah lama pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Semoga Allah swt mengampuni dan merahmati mereka kesemuanya, amin. Kini abang, kakak-kakak, adik dan saya pula menempuh pengalaman bulan puasa dan Hari Raya masing-masing bersama keluarga sendiri. Kami juga akan pergi dan akan tinggallah kenangan untuk mereka yang masih hidup. Semoga mereka yang tinggal akan mengingati kami dan berdoa setiap pagi raya buat kami yang akan pergi , amin.

Friday, December 31, 2010

"Mengapa perlunya Negara Islam?"

"Mengapa perlunya Negara Islam?", tanya seorang penulis web di dalam ruang komentar salah sebuah laman portal berita. Dia menyambung
"Mengapa begitu penting untuk menegakkan sebuah Negara Islam di Malaysia? Adakah bermakna dengan tertubuhnya Negara Islam, ia akan membina suatu masyarakat yang lebih berperikemanusiaan untuk Muslim dan non-Muslim? Adakah ianya menyatukan atau memecah-belahkan? Apakah ianya boleh membuat umat Islam lebih bermoral? Ini adalah soalan yang relevan yang pohon dijawab."

Sebagai usaha saya untuk menjawab, saya nyatakan komen saya:
"Muslim yang mempraktikkan agamanya percaya bahawa Negara Islam telah
diperintahkan oleh Allah, tuhan alam semesta (bukan hanya tuhan Muslim, ya
memang benar, bagi saya orang Kristian juga boleh menggunakan nama Allah untuk
tuhan mereka). Jadi dengan tertubuhnya sebuah Negara Islam, ianya memenuhi
tuntutan agama Islam.

Negara Islam mempunyai bentuk fizikal dan rohani. Ianya memberikan
kesamarataan dan keadilan bagi semua orang tanpa memandang bangsa dan agama.
Jika Allah, yang telah menjadikan kita semua memberi rezeki kepada orang Muslim
dan non-Muslim tanpa perbedaan, apakah patut kita tidak memberikan cara
pemerintahan yang baik dan bertanggung jawab kepada rakyat dan dunia.

Kesatuan juga adalah dalam bentuk fizikal dan spritual. Oleh itu, kita
sebagai rakyat Malaysia ketika berbicara, kita perlu bercakap dengan rasa empati
(merasai perasaan orang yang mendengar). Jadi pengakuan kita sebagai
orang Malaysia adalah kesatuan fizikal, di samping itu percaya dan bertindak
sebagai orang Malaysia adalah kesatuan rohani. Islam menghormati kepelbagaian
dan memperkukuhkan kesatuan dengan memanfaatkan dan menyatukan kesatuan
kepelbagaian itu untuk membina bangsa yang kukuh. Saya berharap ini
mencukupi."

Tuesday, August 31, 2010

MERDEKA 1000 TAHUN

aku dibesarkan di Sungai Penchala sampai darjah satu
kemudian pindah ke Gombak masa darjah dua
di Gombak kawan-kawanku Atan, Syam, Aman, Kadir dan yang namanya serupa itu
kami bermain gambar, guli, gasing, tenteng, bola, hoki masa pagi dan petang
kami berhenti bila emak kami panggil makan tengahari atau mandi sebelum maghrib

kami mengaji di surau yang sama, ustazah yang sama
tapi kami bersekolah di sekolah yang berlain-lain
ada di Jalan Temerloh, Jalan Kuantan, Gombak Setia dan St John
aku pulak di Gombak One, sekolah orang putih kononnya

di sekolah kawan-kawanku Asri, Mazlan, Alan, Lum Chee Leong, Elamurugu, dll
taklah ramai pasal ada dua kelas saja yang sebaya
di waktu rehat kami main bola, hoki dan kejar-kejar
ada juga yang satu kelas, tapi aku tak kawan mereka
Farina, Marina, Nurazilanawati, Lim Swee Leng, Jayanthi pasal mereka perempuan

di sekolah menengah pun serupa jugak di Setapak High School
aku bernasib baik pasal kawan aku semuanya lelaki
kawan-kawanku lagi ramai pasal yang sebaya aje ada sepuluh kelas
dekat sini kawan-kawanku Arif, Azim, Farul, David Senggalang, Thiam Hooi, Lin Keong, Pak Chen, Ganesan, Bala, Wahab, Anuardeen, Steven dll
sebelum masuk kelas kami main bola, basketball ramai-ramai
hujung minggu kami ramai-ramai pergi tenguk wayang
Indiana Jones, Star Wars, Shaolin
seronok betul di dalam dan di luar kelas

masa itu aku pun pergi tenguk Piala Malaysia dan Pestabola Merdeka di stadium
aku duduk bersesak dengan Cina, Melayu, India, Serani
bila Mokhtar Dahari score gol, kami bersorak ramai-ramai
bila Arumugam selamatkan penalti, kami bersorak juga
bila Chin Aun dan Santokh Singh kena kad kuning pasal seper orang
kami boo-kan referee ramai-ramai

habis SPM aku dipanggil ikut minggu orientasi
seminggu aku ada dekat ITM Shah Alam
seminggu tak dapat tenguk tv, asyik dengar orang bersyarah
tapi syarahan mereka ni aku dengar pelik sikit
dia orang suruh aku marah kat bangsa Thiam Hooi, Lin Keong, Pak Chen,
suruh menyanyi pun lagu serupa itu jugak
lagu Warisan yang tuduh bangsa asing rampas hak bangsa aku

dah umur 21 tahun aku bolehlah mengundi
tapi bila dengar orang berkempen
ceritanya serupa masa aku orientasi dekat ITM Shah Alam
tapi aku tengok dia orang sama-sama jadi Menteri
apa pasal pulak nak kempen macam lagu Warisan

aku heran.. betul-betul aku heran
kenapa pak-pak Menteri tak ajar kita orang kawan-kawan macam dekat sekolah?
kenapa pak-pak Menteri tak ajar kita orang kawan-kawan macam tenguk bolasepak?
kenapa suratkhabar Melayu cerita Melayu?
kenapa suratkhabar Cina cerita Cina?
kenapa suratkhabar Tamil cerita India?
kenapa?

aku terfikir nasib anak-cucu-cicit aku besuk
kalau macam inilah gayanya
lagu Warisan tu akan menjadi lagu yang evergreen walaupun dah merdeka 1000 tahun